Budak Berumur 3 Tahun Didera Pengasuh
Apa yang berlaku baru-baru ini amat menyayat hati seorang ibu apabila beliau mendapati anaknya diikat seorang pengasuh di Flat Taman Seri Pinang dekat sungai puyu. Ibu tersebut sering tertanya-tanya tentang anaknya berusia tiga tahun yang kerap lapar dan tidak bermaya setiap kali diambil daripada pengasuh.
Gerak hatinya kemudian mendorongnya membuat pemeriksaan mengejut di rumah pengasuh terbabit dan luluh hatinya apabila melihat anak yang dikasihinya itu terbaring dalam keadaan kedua-dua tangannya diikat dengan tali pinggang ke belakang manakala kedua-dua kakinya diikat menggunakan tali.
Lebih menyedihkan terdapat seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang merupakan anak pengasuh terbabit sedang mengawasi anaknya itu. Menurut ibu kanak-kanak tersebut, Nalita Ahmad, 38, dia yang bekerja kilang menghantar anaknya ke rumah pengasuh berusia 39 tahun itu sejak Jun tahun lalu dan tiada masalah berlaku sepanjang tempoh berkenaan
Sehubungan itu, dia membuat laporan di balai polis berhampiran kira-kira pukul 11.40 pagi semalam kerana tidak berpuas hati dengan tindakan pengasuh terbabit. Pihak polis Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan pengasuh terbabit ditahan untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.
Sumber- utusan malaysia